Jadual padat ‘bunuh’ pemain: Guardiola

MANCHESTER, UNITED KINGDOM: Pep Guardiola mendakwa jadual padat yang perlu diharungi ketika ini bakal ‘membunuh’ pemain dan kenyataan itu hadir selepas Manchester City melengkapkan perlawanan keempat dalam tempoh 11 hari menerusi kemenangan 3-1 ke atas Watford.

Skuad kendalian Guardiola itu mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga Perdana dengan kelebihan 15 mata selepas bangkit daripada keputusan seri di Crystal Palace, 48 jam sebelum itu.

Jaringan Raheem Sterling dan Sergio Aguero menambah kelegaan City selepas gol sendiri Christian Kabasele di Eastlands.

Tetapi pengurus City, Guardiola tidak bernafsu untuk menyambut kemenangan itu sebaliknya pengendali kelahiran Sepanyol berkenaan merungut mengenai jadual yang perlu diharungi kelab Inggeris pada setiap hujung tahun.

 

PEMAIN City, Leroy Sane (tengah) cuba menyambar bola dalam kawasan Watford pada aksi liga di Etihad, awal pagi tadi. – Foto AFP

Jadual itu jauh berbeza dengan liga utama Eropah lain yang memilih untuk berehat sempena musim sejuk.

“Kami melakukan lima perubahan berbanding perlawanan sebelum ini tetapi itu bukan salah kami,” katanya.

“Di England, aksi perlu diteruskan tetapi percayalah, ia bukan sesuatu yang normal. Pihak bertanggungjawab perlu memikirkannya semula.

“Tindakan ini akan membunuh pemain. Persekutuan tidak memikirkan soal nasib pemain tetapi mereka sebenarnya perlu berbuat demikian.

“Mereka bermain selama 11 bulan berturut-turut. Mereka perlu melindungi pemain dan memastikan pemain dapat mempamer kualiti, bukannya kuantiti. Masalah begini tidak berlaku dalam industri lain termasuk hiburan.”

SKUAD The Citizens mungkin dilihat tidak berada di kedudukan terbaik pada perlawanan terakhir di sepanjang jadual padat kali ini tetapi pendahulu liga itu masih terlalu kuat untuk Watford. – Foto REUTERS

Kekecewaan Guardiola mungkin berpunca daripada kecederaan lutut yang dialami Gabriel Jesus ketika menentang Palace dan mengakibatkan penyerang City itu tidak boleh bermain selama enam minggu.

“Dia tidak boleh diturunkan untuk tempoh empat hingga enam bulan, atau mungkin lebih lagi tetapi saya harap dia boleh kembali secepat mungkin,” kata Guardiola.

City mungkin dilihat tidak berada di kedudukan terbaik pada perlawanan terakhir di sepanjang jadual padat kali ini tetapi skuad pendahulu itu masih terlalu kuat untuk Watford.

“Watford menjaringkan gol kerana mereka mempunyai pemain bagus. Kami akan meneliti semula aksi pemain tetapi semua pihak tidak boleh mengharapkan kami menang 7-0 dalam setiap perlawanan,” kata Guardiola.

“Kami bermain baik. Selepas tercicir dua mata, kami ada berbincang mengenainya kerana pasukan besar tidak boleh tercicir terlalu banyak mata.” – Reuters

 

 

Sumber: Berita Steady

Pautan Menarik

loading...